20 Mei 2014

Tanggungjawab untuk membebaskan Palestine khususnya Baitulmaqdis mestilah atas dasar nama Islam.

(Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang)

Umat Islam, hendaklah mengelakkan diri daripada aspek perkauman, memecah belahkan umat dan mazhab serta kepentingan lain untuk menggagalkan pembebasan Palestine. Menjadi satu kesilapan besar apabila negara umat Islam beri kepercayaan kepada kuasa besar yang menganggotai PBB untuk selesaikan masalah Palestine..

Malangnya hingga kini seluruh negara umat Islam yang mencapai kemerdekaan masih terikat dengan penyelesaian yang dirangka oleh barat di mana bercanggah dengan kewajiban umat Islam mempertahankan bumi Palestine. Kita menerima penyelesaian Palestine dengan mewujudkan dua negara iaitu Palestine dan Israel.Kita serah bumi Palestine kepada Israel!

Apakah perkara ini diizinkan Islam?

Palestine adalah bumi Anbia iaitu kiblat untuk Umat Islam. Justeru, mereka yang berhak ke atas Palestine adalah Islam kerana di situ adalah tempat yang menjadi pilihan para Nabi termasuklah Nabi Muhammad SAW.
Hubungan kita dengan Palestine khususnya isu Baitulmaqdis adalah hubungan sangat erat. Berkait dengan kepercayaan dan agama kita yang tidak boleh mengizinkan bumi Palestine diserah begitu mudah. Kita jangan lupa sejarah penubuhan negara Isarel yang haram menyebabkan kuasa-kuasa dunia timur barat termasuk Amerika terlibat dalam tertubuhnya Isarel pada 1948.

Shah Alam
17 Mei 2014
Persidangan Antarabangsa Pembebasan Masjid Al-Aqsa dan Golongan Tertindas .

11 Mei 2014

Hudud Allah


Pas tangguh bentang hudud di Parlimen

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pas membatalkan hasrat untuk membawa Rang Undang-Undang Persendirian (hudud) di Dewan Rakyat pada persidangan Parlimen bulan Jun 2014. Keputusan Pas itu diumumkan oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang membacakan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Menurut Mohamad Sabu, pembatalan tersebut dibuat selepas Pas Pusat bersetuju dengan cadangan penubuhan satu Jawatankuasa Teknikal antara kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk meneliti dan mengemukakan cadangan tindakan ke arah pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan. "Oleh kerana itu cadangan membawa Rang Undang-Undang Persendirian (hudud) di Parlimen pada bulan enam ini tidak akan diteruskan. "Ini jawatankuasa antara kerajaan dengan kerajaan, bukan lagi antara parti dengan parti, jadi seriuslah," katanya.

Walaupun keputusan untuk menangguhkan pembentangan usul di Parlimen dibuat, namun Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, Pas bertekad untuk memastikan undang-undang hudud terlaksana. "Terserah kepada Jawatankuasa Teknikal yang akan berbincang dengan Kelantan dan Pusat. "Ini jawatankuasa antara kerajaan dengan kerajaan, bukan lagi antara parti dengan parti, jadi seriuslah," katanya.

Ditanya sama ada keputusan itu sudah dimaklumkan kepada rakan sekutu dalam PR, Mat Sabu berkata, pihaknya tidak berbuat demikian. "Mereka belum tahu. Mereka akan mengetahuinya melalui laporan adil media hari ini," katanya. Untuk rekod, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada April lalu telah mengumumkan kerajaan negeri sudah bersedia dengan draf satu RUU persendirian (private bill) berhubung hukum hudud. Rang undang-undang itu akan dibawa Ahli Parlimen Pas dari Kelantan ke persidangan Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan undang-undang tersebut seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan Kelantan tersebut disambut baik oleh Umno, termasuk pemimpin tertingginya iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu melihat usaha itu diteruskan. Sementara itu, cadangan Pas tersebut menerima tentangan hebat daripada rakan sekutunya terutama DAP.

Manakala MCA pula memutuskan untuk mengkaji kedudukannya sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) jika Umno terus menyokong Pas melaksanakan hudud di Kelantan.--sinar harian