20 Mei 2014

Tanggungjawab untuk membebaskan Palestine khususnya Baitulmaqdis mestilah atas dasar nama Islam.

(Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang)

Umat Islam, hendaklah mengelakkan diri daripada aspek perkauman, memecah belahkan umat dan mazhab serta kepentingan lain untuk menggagalkan pembebasan Palestine. Menjadi satu kesilapan besar apabila negara umat Islam beri kepercayaan kepada kuasa besar yang menganggotai PBB untuk selesaikan masalah Palestine..

Malangnya hingga kini seluruh negara umat Islam yang mencapai kemerdekaan masih terikat dengan penyelesaian yang dirangka oleh barat di mana bercanggah dengan kewajiban umat Islam mempertahankan bumi Palestine. Kita menerima penyelesaian Palestine dengan mewujudkan dua negara iaitu Palestine dan Israel.Kita serah bumi Palestine kepada Israel!

Apakah perkara ini diizinkan Islam?

Palestine adalah bumi Anbia iaitu kiblat untuk Umat Islam. Justeru, mereka yang berhak ke atas Palestine adalah Islam kerana di situ adalah tempat yang menjadi pilihan para Nabi termasuklah Nabi Muhammad SAW.
Hubungan kita dengan Palestine khususnya isu Baitulmaqdis adalah hubungan sangat erat. Berkait dengan kepercayaan dan agama kita yang tidak boleh mengizinkan bumi Palestine diserah begitu mudah. Kita jangan lupa sejarah penubuhan negara Isarel yang haram menyebabkan kuasa-kuasa dunia timur barat termasuk Amerika terlibat dalam tertubuhnya Isarel pada 1948.

Shah Alam
17 Mei 2014
Persidangan Antarabangsa Pembebasan Masjid Al-Aqsa dan Golongan Tertindas .

11 Mei 2014

Hudud Allah


Pas tangguh bentang hudud di Parlimen

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pas membatalkan hasrat untuk membawa Rang Undang-Undang Persendirian (hudud) di Dewan Rakyat pada persidangan Parlimen bulan Jun 2014. Keputusan Pas itu diumumkan oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang membacakan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Menurut Mohamad Sabu, pembatalan tersebut dibuat selepas Pas Pusat bersetuju dengan cadangan penubuhan satu Jawatankuasa Teknikal antara kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk meneliti dan mengemukakan cadangan tindakan ke arah pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan. "Oleh kerana itu cadangan membawa Rang Undang-Undang Persendirian (hudud) di Parlimen pada bulan enam ini tidak akan diteruskan. "Ini jawatankuasa antara kerajaan dengan kerajaan, bukan lagi antara parti dengan parti, jadi seriuslah," katanya.

Walaupun keputusan untuk menangguhkan pembentangan usul di Parlimen dibuat, namun Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, Pas bertekad untuk memastikan undang-undang hudud terlaksana. "Terserah kepada Jawatankuasa Teknikal yang akan berbincang dengan Kelantan dan Pusat. "Ini jawatankuasa antara kerajaan dengan kerajaan, bukan lagi antara parti dengan parti, jadi seriuslah," katanya.

Ditanya sama ada keputusan itu sudah dimaklumkan kepada rakan sekutu dalam PR, Mat Sabu berkata, pihaknya tidak berbuat demikian. "Mereka belum tahu. Mereka akan mengetahuinya melalui laporan adil media hari ini," katanya. Untuk rekod, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada April lalu telah mengumumkan kerajaan negeri sudah bersedia dengan draf satu RUU persendirian (private bill) berhubung hukum hudud. Rang undang-undang itu akan dibawa Ahli Parlimen Pas dari Kelantan ke persidangan Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan undang-undang tersebut seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan Kelantan tersebut disambut baik oleh Umno, termasuk pemimpin tertingginya iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu melihat usaha itu diteruskan. Sementara itu, cadangan Pas tersebut menerima tentangan hebat daripada rakan sekutunya terutama DAP.

Manakala MCA pula memutuskan untuk mengkaji kedudukannya sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) jika Umno terus menyokong Pas melaksanakan hudud di Kelantan.--sinar harian

07 Februari 2012

CUBAAN MEMBUNUH PEMIMPIN PAS DIKECAM

                                                                                 KENYATAAN MEDIA


             10 Rabi'i al-Awwal bersamaan 03 Februari 2012
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam tindakan pihak tertentu yang membakar kereta dan rumah milik Timbalan Peusurhjaya PAS Johor, Dzulkefly Ahmad semalam. DPPM menganggap tindakan tersebut dilakukan oleh individu yang bacul dan tidak bermaruah kerana hanya mampu ‘menyerang hendap’ pemimpin PAS Johor itu dan tidak berani berhadapan atau bersemuka dengan pemimpin tersebut.
DPPM melihat kejadian membakar kereta dan rumah Sdr Dzulkefli Ahmad itu adalah sebagai cubaan sabotaj dengan niat untuk mencederakan atau membunuh pemimpin PAS. Sebelum ini pada tahun lepas, rumah Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS dilontar Molotov Cocktail oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dalam cubaan membakar rumah beliau. Ini menunjukkan sudah ada usaha tindakan agresif dan kekerasan dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap pemimpin PAS.
DPPM merasa bimbang dengan tndakan ‘ala gangster atau mafia’ yang diamalkan oleh sesetengah pihak di negara ini. Menyedari bahawa pemimpin PAS lantang menyuarakan kebenaran dan menentang kezaliman, rumah dan aset mereka pula menjadi sasaran tindakan khianat. Ia sebagai suatu mesej dan amaran kepada pemimpin PAS supaya jangan sesekali berani bangkit membantah kezaliman kerana dendam kesumat itu akan disasarkan pula kepada mereka selepas ini dalam apa juga bentuk termasuk membaling bom dan membakar rumah mereka.
Justeru, DPPM meminta pihak polis menyiasat kejadian ini secara terperinci dan berharap insiden ini tidak berlaku di masa depan. DPPM juga meminta Jabatan AMAL bersedia dalam setiap ketika untuk menjaga keselamatan pemimpin PAS terutama menjelang pilihanraya umum yang dijangka pada bila-bila masa.
Akhirnya DPPM mendoakan semoga Dzulkefly Ahmad sekeluarga tabah menghadapi ujian yang melanda dan semga ujian ini akan menguatkan beliau dalam perjuangan ini.
Disediakan oleh;
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

17 Disember 2011

Asalkan Bukan Umno (A.B.U)
Gerakan Asalkan Bukan Umno (ABU) yang menjadi sebutan menjelang pilihan raya 2008 kembali meraih perhatian dalam acara sulungnya di tapak markas tarbiah PAS, Taman Melewar malam tadi.
Sebelum ini, ABU hanya dikenali melalui contengan grafiti di dinding dan tembok sekitar Kuala Lumpur dan juga cakap-cakap di kedai kopi.
Ceramah pertama yang dijalankan malam tadi bagaimanapun mula menampakkan bentuk "Gerakan Rakyat Membebaskan Malaysia Dari Cengkaman Umno/BN" ini.
Program ceramah rakyat itu membariskan wakil daripada golongan masyarakat yang rata-ratanya menyuarakan kekecewaan terhadap Umno dan BN serta menyeru supaya parti berkenaan tidak lagi dipilih dalam pilihan raya akan datang.

Bekas pemimpin muda PKR, Badrul Hisham Shaharin yang bertindak sebagai pengerusi ceramah berkata, ABU bukanlah satu pergerakan politik tetapi satu "semangat dan iltizam rakyat untuk menghumbankan Umno."

NONE"Ia bukan milik sesiapa," katanya lagi yang menambah, gerakan itu juga tidak mempunyai pemimpin tapi bergerak atas semangat sama untuk mengundi selain Umno dan BN.
Antara pemimpin politik yang ditampilkan dalam ceramah berkenaan ialah naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, presiden Gerakan Masyarakat Sivil Malaysia (MCLM), Haris Ibrahim, setiausaha agung PSM, S Arutchelvan dan juga wakil SAPP, Benny Loh.

Mahfuz dalam ucapannya di ceramah berkenaan berkata, kempen ABU itu membawa semangat sama yang menghumbankan parti Liberal Democratic Party di Jepun pada pilihan raya di negara berkenaan dua tahun lalu.

ABU seperti di Jepun
Katanya, LDP tidak ubah seperti Umno yang membentuk kerajaan secara berterusan di negara berkenaan selama 54 tahun.

Anehnya, ramai yang memilih untuk tidak menyokong LDP pada pilihan raya 1999 berbuat demikian tanpa mengetahui dasar dan juga tawaran oleh parti alternatif – Democratic Party yang baru dibentuk setahun sebelum itu.

NONE"Bila ditanya (sebab undi Democratic Party), pengundi kata 'oh asalkan bukan LDP," kata Mahfuz lagi.
Beliau turut menyeru supaya para hadirin berkenaan tidak termakan dengan kebimbangan yang ditimbulkan Umno bahawa Malaysia akan hilang kemajuan sekiranya kerajaan berubah.

Katanya, ekonomi Jepun yang jauh lebih maju daripada Malaysia tidak terjejas walau kuasa politik itu berubah kepada parti baru.

"Takkanlah mereka tidak terfikir bahawa mereka akan hilang kemajuan jika buat perubahan," soalnya lagi.

Bagaimanapun, fokus utama program itu ialah luahan perasaan daripada rakyat biasa yang diangkat ke pentas ceramah berkenaan, kata Badrul Hisham.

Antaranya ialah seorang pekerja kilang, Zuraidi Abdullah yang membangkitkan mengenai masalah yang dialami oleh pekerja industri yang tidak dilindungi gaji minimum dan juga manipulasi oleh majikan dalam kontrak kerja.

"Gaji RM600 memang tak cukup untuk tampung kos sara hidup hingga pekerja terpaksa kerja lebih masa. Mereka akan berada lebih 12 jam di tempat kerja," katanya pemuda dari Melaka itu lagi.

'Akta tak bermaruah'

Isu berkenaan turut diulas oleh seorang aktivis pekerja, Jaafar Malik yang mempertikaikan langkah kerajaan untuk membiarkan majikan menetapkan gaji pekerja mengikut harga pasaran.

NONE"Harga pasaran itu apa? Adakah kita ini sama dengan kobis? Sama dengan cili? Sama dengan lembu?," katanya yang disambut gelak ketawa daripada lebih 700 orang yang hadir.

Setidak-tidaknya kerajaan perlu merangka dasar gaji minimum sekiranya tidak mampu untuk membuat akta khusus, kata Jaafar(foto kiri).

"Tapi ini dasar pun tak boleh diwujudkan," tambahnya yang memuji langkah Selangor berhubung penetapan takah RM1,500 untuk gaji minimum kakitangan kerajaan negeri itu.

Anggota exco Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia itu juga menyamakan langkah kerajaan untuk memperkenalkan sistem kontraktor tenaga kerja melalui pindaan Akta Kerja 1955 dengan sistem dalam industri seks.

"Strukturnya mudah. Ada bapa ayam dan ada anak ayam, itulah dia kontraktor pekerja.
"Anak ayam yang kerja dan bapa ayam dapat hasil, jadi memanglah akta ini tak bermaruah," katanya lagi yang mahu pekerja mengadakan demonstrasi besar pada Februari depan untuk membantah pindaan berkenaan.

'Hancurkan Umno'

Turut mencuri perhatian ialah seorang kontraktor binaan, Yusof Tapa, yang mendakwa telah menghadapi masalah untuk mendapatkan kontrak apabila tidak lagi bersama Umno.

NONE"Orang Umno ini tak boleh tengok orang senang," katanya yang mendakwa telah disenarai hitam daripada menerima projek sejak tiga tahun lalu.

Namun, beliau tetap berjaya mendapatkan dua projek melalui lesen kontraktor rakan-rakannya dan akan menyelia projek di jalan-jalan berkenan.

Perkara itulah yang menimbulkan kemarahan pihak tertentu yang menimbulkan pertanyaan: "Apa pasal Yusof Tapa duduk tepi jalan, dia dapat kerja ke?"

Sedangkan, beliau mendapat projek berkenaan melalui saluran yang betul, kata bekas pemimpin di satu bahagian Umno Negeri Sembilan itu.

Perkara itu menunjukkan bahawa pemimpin berkenaan Umno, yang juga menjawat jawatan dalam  perbadanan negeri, bukanlah berjuang untuk kepentingan Melayu tetapi untuk kepentingan kroni mereka sendiri, kata Yusof.

"Jadi kalau ada yang masih dengan Umno kita tinggalkanlah. Kita sertai Pakatan Rakyat, kita kempen untuk hancurkan Umno," katanya lagi.

PAS Uten Shah Alam

11 Disember 2011

Negara Berkebajikan: PAS mahu rakyat jadi tuan

| Print |
SHAH ALAM, 11 Dis: Konsep Negara Berkebajikan yang ditawarkan PAS adalah memperjuangkan hak rakyat di mana rakyat adalah tuan, manakala kerajaan pula hanya bertindak sebagai pemegang amanah kepada wang rakyat. Bercakap sewaktu melancarkan buku 'Negara Berkebajikan: Tawaran PAS' di perkarangan Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini,  Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan konsep yang mahu dibawa PAS itu mengikut panduan yang ditetapkan dalam al-Quran.

"Kita ingin mengubah konsep sekarang yang mana kerajaan menjadikan rakyat sebagai bahan untuk diniagakan, segala sumber pendapatan negara diambil melalui rakyat mengikut cukai-cukai yang ditetapkan.

"Kerajaan adalah khadam kepada rakyat, pemimpin adalah pemegang amanah jadi kita mahu hak rakyat dikembalikan mengikut saluran yang betul," katanya.

Buku setebal 59 muka surat itu menggariskan tentang konsep, polisi dan agenda yang akan ditawarkan oleh parti itu bersama Pakatan Rakyat sekiranya diberi peluang mentadbir negara.

Dalam bahagian polisi-polisi umum, Negara Berkebajikan akan melihat dan menambahbaik polisi-polisi sedia ada termasuk dalam polisi politik, ekonomi dan sosial.

Dalam pada itu Abdul Hadi memberitahu pentadbiran kerajaan sekarang hanya berkonsepkan 'kekayaan negara berpusing kepada orang tertentu sahaja' sedangkan rakyat terus terseksa.

"Sepatutnya harta kekayaan negara disalurkan kepada rakyat selain digunakan untuk pembangunan negara, malah jika kerajaan ingin mencari sumber pendapatan maka cukai perlu dikenakan tetapi tidak semua rakyat perlu membayar cukai.

"Sebab itulah Pakatan Rakyat ingin memansuhkan terus tol kerana rakyat yang tidak sepatutnya dikenakan cukai juga turut terbeban pembayaran tol, inilah yang dijanjikan di dalam Buku Jingga serta konsep negara berkebajikan," sambungnya lagi.

Ahli Parlimen Marang itu juga menegaskan konsep negara berkebajikan ini juga akan menjadi menifesto pada pilihanraya yang akan datang dan ia selaras dengan kesepakatan di dalam Buku Jingga.


Tawar 10 agenda


Dalam buku itu juga, PAS memperincikan 10 agenda yang ditawarkan PAS yang menyentuh kerajaan beramanah, adil dan bersih, masyarakat penyayang, aman dan bersatu, serta ekonomi mampan, seimbang dan saksama.


Selain itu, Abdul Hadi yang menyentuh mengenai pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan yang cekap dan berkualiti, kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat serta keluarga harmoni, bahagia dan bermoral.

Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang turut menghuraikan mengenai belia dan pekerja produktif, kemudahan prasarana berkualiti serta pemeliharaan alam sekitar.

Buku ini juga merupakan penjelasan kepada buku pertama yang ditulis Abdul Hadi sendiri yang bertajuk "Konsep Asas Negara Berkebajikan" yang telah dilancar sebelum ini.

Kedua-dua buku tersebut adalah susulan daripada ucapan dasar yang dibentangkannya dalam Muktamar Tahunan PAS ke-57 Jun lalu yang bertemakan "Membangun Negara Berkebajikan".

"Mudah-mudahan ia akan jadi pemangkin kepada rakyat untuk menyokong PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya nanti.

"Jika rakyat menilai secara jelas negara kebajikan ini maka ia akan melancarkan laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya nanti," kata Abdul Hadi.

Sumber : Harakahdaily
PAS Uten Shah Alam